Tuesday, June 1, 2010

Projek Pembangunan Pagar Keselamatan : Jawapan Kepada Maklumbalas Saudara/Sauadri "GUEST'

Assalamualaikum wrt wbt dan salam sejahtera,

Saudara/saudari 'Guest' (saya merujuk kepada maklumbalas 'guest' di ruangan chat)

Terlebih dahulu, saya mengucapkan terima kasih kepada 'guest' atas maklumbalas yang telah diutarakan melalui laman chat persatuan. Alhamdulillah, kepelbagaian sumber penyampaian maklumat persatuan telah mula diterima baik dari segenap lapisan penduduk Impian Jaya.

Saya juga secara peribadi (dan mungkin mewakili persatuan), ingin mohon maaf sekiranya pihak persatuan kurang menyampaikan apa jua maklumat yang sebenarnya mungkin amat bersifat informatif bagi penduduk. Ada beberapa isu yang pihak persatuan sedang usahakan siang dan malam, mengorbankan masa kerja kami, mengorbankan sedikit masa dengan keluarga dan sebagainya demi kesejahteraan penduduk dan ia SENGAJA tidak dihebahkan kepada umum buat sementara waktu. Percayalah bahawa semua ini tiada sebarang agenda peribadi terselit BAHKAN adalah untuk maslahat dan kesejahteraan bersama. Salah satu usaha yang dilakukan adalah mengumpulkan dana bagi membiayai projek pagar keselamatan.

Tuan/puan,

Untuk makluman, pihak persatuan sebenarnya sedang mengusahakan dua projek yang besar iaitu Pembangunan 'Sound Barrier' dan 'Pagar Keselamatan'. Dari segi sejarah (mohon maaf mungkin kurang tepat memandangkan saya baru setahun beli rumah di Impian Jaya), kawasan perumahan kita hanyalah kawasan perumahan biasa.. tetapi dengan kewujudan Jalan Kajang By Pass yang menghubungkan Lebuhraya Grand Saga dan LEKAS telah mewujudkan implikasi (lebih negatif) kepada kawasan perumahan kita khususnya dari aspek keselamatan dan gangguan bunyi bising. Untuk itu, gerakan telah dibuat untuk melaksanakan 2 projek utama di atas.

Sound Barrier

  • kick-off telah dimulakan pada Februari 2010 (pihak yg telah dirujuk oleh persatuan adalah MPKj, Adun Kajang, LLM, Grand Saga, Kementerian Kerja Raya)
  • Pembangunan di buat di sebelah Jalan kajang by pass
  • Pembangunan tidak boleh dilaksanakan dengan kadar segera memandangkan wujud isu-isu yang bersifat 'nasional', status selenggara, isu tanah dan sebagainya...
Oleh kerana perkara ini mengambil masa yang lama untuk diselesaikan, PPIJ bersetuju untuk membangunkan pagar keselamatan bagi mengekang aktiviti jenayah daripada terus berlaku

Pagar Keselamatan
  • Pembangunan pagar dalam kawasan perumahan bukan menjadi tanggungjawab MPKj tetapi pemaju
  • Projek perumahan kita telah berusia hampir 20 tahun. Pemajunya dimana? ... ada
  • Juga tiada klausa2 yang boleh memaksa pihak2 yang mengaut keuntungan banyak hasil daripada 'kesengsaraan' kita seperti GrandSaga, LEKAS, TESCO dll melainkan kesedaran syarikat ini untuk melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat
  • Oleh kerana itu, persatuan bermula pada Januari 2010 telah menggerakkan aktiviti untuk mengumpul dana/ mendapatkan penajaan dll bagi menampung kos pembangunan pagar tersebut... (perkara ini sekiranya tuan/puan hadir ke aktiviti persatuan atau sering bergaul dengan masyarakat setempat.. pastinya sedikit maklumat mengenai projek pagar ini akan diketahui)... Maklumat lengkap mengenainya sengaja tidak didedahkan oleh persatuan.
  • Kini persatuan telah mendapat sedikit dana, tetapi masih kurang mencukupi. Hasrat untuk mengadakan gotong royong juga dibantah. Sekiranya dilakukan secara gotong royong, maka kos pembinaan pagar dapat dikurang.
  • Persatuan juga mengeluarkan sedikit duit hasil dari kutipan yuran tahunan penduduk
  • Jalan terakhir adalah dengan mendapatkan sumbangan penduduk sebagai tambahan kepada dana tersebut.

Sekiranya, tuan/puan mempunyai cadangan yang baik, yang konstruktif dalam melaksanakan projek ini, sila berbuat demikian melalui laman blog kita. Tuan/puan juga dialu-alukan untuk tampil kehadapan bagi membantu persatuan melancarkan pelaksanaan projek ini.

Akhir kata, saya mohon maaf andai kata-kata saya menimbulkan rasa kurang senang kepada tuan/puan. Kebetulan ketika ini saya amat sibuk, justeru ayat yang dituturkan mungkin kurang sempurna.

"KESELAMATAN KITA TANGGUNGJAWAB BERSAMA"



Setiausaha
Persatuan Penduduk Impian Jaya

No comments:

Post a Comment