Sunday, October 3, 2010

Pengawal Keselamatan Dah Ada Tapi Mengapa Ada Kes Pecah Rumah

Assalamualaikum wrt wbt dan Salam Sejahtera semua,

Saya tertarik dengan ulasan seorang tetamu yang hanya menggunakan nama 'Guest' dalam ruangan sembang kita. Catatannya berbunyi :-

"Just concern, guard dh ader tp nape masih ader kes pecah rumah? tingkap bilik air rumah sy yg selama ni tutup tiba2 terbuka luas. nasib ada grill"

Apa pandangan saya (pandangan ini tidak mencerminkan pandangan rasmi persatuan penduduk):-

1. Pertamanya terima kasih atas ulasan saudara/saudari 'Guest' mengenai isu pecah rumah walaupun telah ada guard.

2. Telah beberapa kali saya nyatakan bahawa tanggungjawab menjaga keselamatan kawasan perumahan kita adalah menjadi tanggungjawab bersama. Semua langkah yang difikirkan perlu bagi mengelakkan berlakunya asbab musabab kejadian pecah rumah hendaklah diambil perhatian sewajarnya. Pemilik rumah bertanggungjawab penuh terhadap sebarang perkara yang berkaitan dengan keselamatan rumah masing-masing. Contohnya, pemilik rumah perlu senantiasa memastikan pintu rumah berkunci, tingkap berkunci pada waktu malam dan banyak lagi. Pun begitu, saya lihat kerja-kerja menutup pintu pagar rumah pada waktu malam telah diambil alih oleh pengawal keselamatan memandangkan segelintir pemilik rumah menganggap ia sesuatu yang remeh dan menyusahkan kerana mereka hanya meninggalkan rumah sebentar sahaja.

3. Tidak wajar mempersoalkan berlakunya kes pecah rumah walaupun telah ada pengawal keselamatan di kawasan perumahan kita. (Fakta: bilangan rumah adalah 284 unit. Bilangan pengawal keselamatan siang adalah seorang manakala sebelah malam adalah 2 orang). Saya mohon maaf (atas dasar peribadi) kerana mungkin tidak mampu untuk memberikan perkhidmatan kawalan keselamatan yang crime-free rate (0% free crime). Pun begitu, saya berasa puas hati kerana telah berjaya membantu merealisasikan hasrat sebilangan besar penduduk yang mahukan kawalan keselamatan.

4. Seorang pengawal keselamatan pada sebelah siang memang tidak mampu untuk memastikan kawasan perumahan kita menjadi crime-free neighbourhood. Logik akal, adakah mampu seorang pengawal keselamatan untuk menjaga setiap inci rumah semua penduduk di sini? Jawapannya sudah tentu mustahil. Apa yang ada ketika ini adalah satu usaha pencegahan dan pengurangan risiko berlakunya jenayah.

5. Justeru, disamping pengawal keselamatan menjalankan tugas mereka, kita sebagai penduduk boleh pada masa yang sama membantu meningkatkan tahap keselamatan kejiranan kita. Tapi adakah perlu kita turut serta meronda? Jawapannya sudah pasti tidak perlu. Cukup sekadar kita semua ambil langkah-langkah pencegahan supaya perkara-perkara yang boleh mengundang penjenayah masuk ke dalam rumah kita dielakkan.

6. Sekiranya ada sebarang kekurangan atau kekhilafan dalam urusan kawalan keselamatan, sila maklumkan kepada AJK PPIJ untuk sebarang penambahbaikan. Kita semua insan biasa. Hanya mampu merancang tetapi perancangan Allah swt mengatasi segalanya.

7. Janganlah disebabkan masih ada lagi kejadian pecah rumah (yang bilangannya sekarang ini jauh lebih rendah... sekurang-kurang pada ketika coretan ini dibuat) kita semua berputus asa dan menghentikan segala sumbangan yuran kawalan keselamatan. RM30 sebulan untuk kita sama-sama jaga kejiranan kita. Kita berdoa semoga Allah permudahkan segala urusan kita. Melainkan kalau ada antara kita yang sanggup menggaji 2 orang pengawal keselamatan siang dan malam untuk berjaga di rumah pasti... mungkin secara peribadi 98% tahap keselamatan boleh dijamin.

8. Umpamanya, adakah perlu kita menggesa kerajaan Malaysia membubarkan pasukan POLIS kerana ketika ini masih berlaku banyak jenayah??. Yang terhebat ketika ini pastinya isu pembunuhan kejam Dato Sosilawati dan beberapa yang lain. Adakah kita perlu menjerit-jerit kerana wang cukai kita telah digunakan untuk bayar gaji pasukan polis TETAPI berlaku lagi jenayah di mana-mana. PASTINYA jawapan saya tidak perlu. Pihak Polis dan pasukan keselamatan lain telah menjalankan tugas mereka dengan baik. Namun untuk meminta, setiap orang daripada penduduk Malaysia dijaga oleh seorang polis adalah jauh sekali dari munasabah.

9. Marilah sama-sama kita eratkan silaturrahim dan semangat setia kawan dalam kejiranan masing-masing. Pastinya ini merupakan salah satu cara baik untuk mencegah berlakunya jenayah. Malang sekali ada antara kita di sini yang tidak bertegur sapa dan tidak mengenali jiran tetangga masing-masing.

10. Teruskanlah kerjasama semua dalam urusan keselamatan kejiranan ini. Bagi mereka yang asyik menentang usaha kawalan keselamatan ini, sedarlah bahawa persatuan tidak mendapat satu pun keuntungan peribadi hasil daripada yuran keselamatan. Ini semua adalah untuk kesejahteraan bersama. Bagi mereka yang masih mengelakkan diri daripada membayar yuran keselamatan... ingatlah bahawa jiran tetangga kita telah mengeluarkan wang hasil daripada titik peluh mereka untuk memastikan keselamatan kejiranannya senantiasa terkawal. Tergamak kah anda??

Terima kasih. Maaf zahir batin




No comments:

Post a Comment