Tuesday, October 12, 2010

Ancaman Kecurian & Pecah Rumah Meningkat

PERHATIAN SEMUA PENDUDUK IMPIAN JAYA !!!


Sepanjang minggu bulan Syawal ini, kejadian kecurian, cubaan pecah rumah dan pecah rumah telah beberapa kali dilaporkan oleh penduduk. Kebanyakkan kes yang dilaporkan adalah disebelah siang iaitu sekitar tengahari dan menjelang maghrib. Antara modus operandi yang telah dikenalpasti adalah:

  1. sesi tinjauan oleh 3-4 individu dengan memandu kereta (iswara biru);
  2. membaling batu ke bumbung oleh 'individu' bertudung - dipercayai untuk mengaburi niat untuk mencuri. sekiranya, tiada respon tindakan pecah rumah akan dibuat oleh beberapa individu (lelaki) lain selepas itu.


APA TINDAKAN PERSATUAN PENDUDUK?

  1. Mempercepatkan usaha membangunkan Pondok Pengawal II (sebelah Kajang-by-pass).
  2. Telah memulakan kerja-kerja pembanngunan pagar di Jalan Kajang By Pass sehingga traffic light
  3. Menambah seorang lagi pengawal keselamatan pada waktu siang.
  4. Menyusun atur /menambah baik perjalanan kawalan keselamatan.
  5. Bercadang untuk menutup terus palang besi di sebelah Jalan Kajang By Pass pada hari bekerja (Mohon maklumbalas semua penduduk impian jaya khususnya mereka yang mempunyai anak-anak bersekolah)


APA TINDAKAN SEMUA PENDUDUK?

  1. Bersama-sama meningkatkan tahap keselamatan kediaman masing-masing
  2. Simpan Nombor Telefon Polis Kajang (03-8736 2222), Guard SIANG (017-3568594), Guard MALAM (016-3700831), Pengurus Kawalan Keselamatan (019-2535102) dan yang utama jiran-jiran terdekat masing-masing.
  3. Pastikan jiran depan-belakang-kanan-kiri WAJIB dikenali.
  4. Ayuh! Bantulah dan sertailah semua penduduk. Jelaskan Yuran Keselamatan.
  5. Berdoa semoga Allah memudahkan segala urusan penduduk dan dijauhi dari sebarang musibah.


Sekiranya tuan/puan ada sebarang cadangan, sila tulis cadangan tuan/puan melalui komen di bawah.

Terima kasih.


"KESELAMATAN KITA ... TANGGUNGJAWAB BERSAMA"



Sunday, October 3, 2010

Pengawal Keselamatan Dah Ada Tapi Mengapa Ada Kes Pecah Rumah

Assalamualaikum wrt wbt dan Salam Sejahtera semua,

Saya tertarik dengan ulasan seorang tetamu yang hanya menggunakan nama 'Guest' dalam ruangan sembang kita. Catatannya berbunyi :-

"Just concern, guard dh ader tp nape masih ader kes pecah rumah? tingkap bilik air rumah sy yg selama ni tutup tiba2 terbuka luas. nasib ada grill"

Apa pandangan saya (pandangan ini tidak mencerminkan pandangan rasmi persatuan penduduk):-

1. Pertamanya terima kasih atas ulasan saudara/saudari 'Guest' mengenai isu pecah rumah walaupun telah ada guard.

2. Telah beberapa kali saya nyatakan bahawa tanggungjawab menjaga keselamatan kawasan perumahan kita adalah menjadi tanggungjawab bersama. Semua langkah yang difikirkan perlu bagi mengelakkan berlakunya asbab musabab kejadian pecah rumah hendaklah diambil perhatian sewajarnya. Pemilik rumah bertanggungjawab penuh terhadap sebarang perkara yang berkaitan dengan keselamatan rumah masing-masing. Contohnya, pemilik rumah perlu senantiasa memastikan pintu rumah berkunci, tingkap berkunci pada waktu malam dan banyak lagi. Pun begitu, saya lihat kerja-kerja menutup pintu pagar rumah pada waktu malam telah diambil alih oleh pengawal keselamatan memandangkan segelintir pemilik rumah menganggap ia sesuatu yang remeh dan menyusahkan kerana mereka hanya meninggalkan rumah sebentar sahaja.

3. Tidak wajar mempersoalkan berlakunya kes pecah rumah walaupun telah ada pengawal keselamatan di kawasan perumahan kita. (Fakta: bilangan rumah adalah 284 unit. Bilangan pengawal keselamatan siang adalah seorang manakala sebelah malam adalah 2 orang). Saya mohon maaf (atas dasar peribadi) kerana mungkin tidak mampu untuk memberikan perkhidmatan kawalan keselamatan yang crime-free rate (0% free crime). Pun begitu, saya berasa puas hati kerana telah berjaya membantu merealisasikan hasrat sebilangan besar penduduk yang mahukan kawalan keselamatan.

4. Seorang pengawal keselamatan pada sebelah siang memang tidak mampu untuk memastikan kawasan perumahan kita menjadi crime-free neighbourhood. Logik akal, adakah mampu seorang pengawal keselamatan untuk menjaga setiap inci rumah semua penduduk di sini? Jawapannya sudah tentu mustahil. Apa yang ada ketika ini adalah satu usaha pencegahan dan pengurangan risiko berlakunya jenayah.

5. Justeru, disamping pengawal keselamatan menjalankan tugas mereka, kita sebagai penduduk boleh pada masa yang sama membantu meningkatkan tahap keselamatan kejiranan kita. Tapi adakah perlu kita turut serta meronda? Jawapannya sudah pasti tidak perlu. Cukup sekadar kita semua ambil langkah-langkah pencegahan supaya perkara-perkara yang boleh mengundang penjenayah masuk ke dalam rumah kita dielakkan.

6. Sekiranya ada sebarang kekurangan atau kekhilafan dalam urusan kawalan keselamatan, sila maklumkan kepada AJK PPIJ untuk sebarang penambahbaikan. Kita semua insan biasa. Hanya mampu merancang tetapi perancangan Allah swt mengatasi segalanya.

7. Janganlah disebabkan masih ada lagi kejadian pecah rumah (yang bilangannya sekarang ini jauh lebih rendah... sekurang-kurang pada ketika coretan ini dibuat) kita semua berputus asa dan menghentikan segala sumbangan yuran kawalan keselamatan. RM30 sebulan untuk kita sama-sama jaga kejiranan kita. Kita berdoa semoga Allah permudahkan segala urusan kita. Melainkan kalau ada antara kita yang sanggup menggaji 2 orang pengawal keselamatan siang dan malam untuk berjaga di rumah pasti... mungkin secara peribadi 98% tahap keselamatan boleh dijamin.

8. Umpamanya, adakah perlu kita menggesa kerajaan Malaysia membubarkan pasukan POLIS kerana ketika ini masih berlaku banyak jenayah??. Yang terhebat ketika ini pastinya isu pembunuhan kejam Dato Sosilawati dan beberapa yang lain. Adakah kita perlu menjerit-jerit kerana wang cukai kita telah digunakan untuk bayar gaji pasukan polis TETAPI berlaku lagi jenayah di mana-mana. PASTINYA jawapan saya tidak perlu. Pihak Polis dan pasukan keselamatan lain telah menjalankan tugas mereka dengan baik. Namun untuk meminta, setiap orang daripada penduduk Malaysia dijaga oleh seorang polis adalah jauh sekali dari munasabah.

9. Marilah sama-sama kita eratkan silaturrahim dan semangat setia kawan dalam kejiranan masing-masing. Pastinya ini merupakan salah satu cara baik untuk mencegah berlakunya jenayah. Malang sekali ada antara kita di sini yang tidak bertegur sapa dan tidak mengenali jiran tetangga masing-masing.

10. Teruskanlah kerjasama semua dalam urusan keselamatan kejiranan ini. Bagi mereka yang asyik menentang usaha kawalan keselamatan ini, sedarlah bahawa persatuan tidak mendapat satu pun keuntungan peribadi hasil daripada yuran keselamatan. Ini semua adalah untuk kesejahteraan bersama. Bagi mereka yang masih mengelakkan diri daripada membayar yuran keselamatan... ingatlah bahawa jiran tetangga kita telah mengeluarkan wang hasil daripada titik peluh mereka untuk memastikan keselamatan kejiranannya senantiasa terkawal. Tergamak kah anda??

Terima kasih. Maaf zahir batin




Wednesday, September 29, 2010

Program Sambutan Aidilfitri 1431H Impian Jaya, Saujana Impian Kajang



Persatuan Penduduk Impian Jaya akan mengadakan Program Sambutan Aidilfitri 1431H pada tarikh, masa dan tempat seperti berikut:

Tarikh : 2 Oktober 2010 (Sabtu)
Masa : 8.00 malam
Tempat : Padang Permainan Jalan Impian Jaya 5

Sambutan pada tahun ini akan diadakan secara bergotong royong. Justeru, kerjasama semua penduduk untuk turut serta bersama persatuan dalam gotong royong menyediakan juadah raya pada jam 2.00 petang .

Semua penduduk dijemput hadir.


Tuesday, September 7, 2010

Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri 1431H




Persatuan Penduduk Impian Jaya (PPIJ) ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir & Batin. Semoga perjalanan tuan/puan dipermudahkan Allah swt dan selamat pergi dan balik.

Sila ambil perhatian terhadap perkara-perkara berikut:

  • Tuan/Puan yang akan bercuti pulang ke kampung hendaklah memastikan rumah masing-masing dikunci dengan baik
  • Pastikan kenderaan yang ditinggalkan juga berkunci dengan baik
  • Nyalakan lampu yang berkenaan di rumah tuan/puan
  • Pastikan tuan/puan menyimpan nombor telefon jiran terhampir dengan rumah masing-masing
  • Pintu palang di sebelah Jalan Kajang By Pass akan ditutup 24 jam pada Hari Raya Pertama & Kedua (10 & 11 September 2010)
  • Semua penduduk & pelawat hendaklah menggunakan laluan utama di sebelah Jalan Melur pada tarikh 10 & 11 September 2010
  • Tambahan seorang pengawal keselamatan akan dibuat semasa cuti Aidilfitri bermula 7 – 16 September 2010
  • Nombor telefon Kawalan Keselamatan adalah seperti berikut:

Kawalan Keselamatan (Siang)

017-3568594

Kawalan Keselamatan (Malam)

016-3779425

Pengurus Keselamatan (Encik Aziz)

019-2535102

Balai Polis Kajang

03-87362222






Monday, August 23, 2010

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Negara Ke 53


Persatuan Penduduk Impian Jaya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan Negara kita yang ke 53.

Sudahkah Anda Mengibarkan JALUR GEMILANG di rumah anda??

Monday, August 9, 2010

Selamat Menjalani Ibadah Di Bulan Ramadhan al Mubarak


Persatuan Penduduk Impian Jaya ingin mengambil kesempatan ini, mengucapkan Selamat Menunaikan Ibadah di Bulan Ramadhan al Mubarak kepada semua muslimin dan muslimat penduduk Impian Jaya, Saujana Impian. Semoga semua amal ibadah kita diterima oleh Allah swt.


Tuesday, August 3, 2010

Taklimat Pencegahan Kebakaran & Pemeriksaan Pili Bomba

Assalamualaikum wrt wbt dan Salam Sejahtera,

Untuk makluman tuan/puan, serentak dengan Program Gotong Royong Sempena Ramadhan pada 8 Ogos 2010 (Ahad), Persatuan Penduduk Impian Jaya telah menjemput Pegawai Bomba dari Jabatan Bomba & Penyelamat Kajang untuk menyampaikan Taklimat Ringkas Mengenai Pencegahan Kebakaran dan Aktiviti Pemeriksaan Pili Bomba yang ditempatkan di kawasan Impian Jaya.

Adalah menjadi harapan persatuan agar, semua penduduk dapat hadir ke program tersebut bagi mendapatkan informasi berkaitan dan melibatkan diri dalam aktiviti gotong royong.

Harap Maklum.